'Jangan kerek sangat mai tempat orang, agak-agaklah' - Menteri Besar Kedah 'sound' setepek pasukan JDT yang dikatanya tidak menghormati Kedah FC


Pendahulu Liga Super 2021, Johor Darul Ta'zim (JDT) semalam meraih tiga mata penuh setelah berjaya mengatasi Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan keputusan 1-0 pada aksi ke-12 di Stadium Darul Aman. 


JDT pada perlawanan itu dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-19 ekoran Mohamadou Sumareh dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Renan Alves. Da Silva berjaya menyempurnakan sepakan penalti dan meletakkan JDT di hadapan 1-0 sehingga kekal ke wisel penamat. 


Bagaimanapun, Presiden Bolasepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Noor, meluahkan rasa kesal terhadap pasukan JDT yang dikatanya tidak menghormati tuan rumah. 


Kenyataan itu dibuat susulan dari ketegangan yang tercetus di kalangan jurulatih dan pemain semasa perlawanan ini berlangsung. 


Menurut laporan Free Malaysia Today, insiden berlaku di antara kedua-dua pasukan sebaik saja tamat separuh masa pertama di mana JDT dilihat menerpa ke bahagian jurulatih KDA FC lalu berlaku perang mulut di antara mereka. Keadaan itu berlarutan sehingga di luar padang ketika pemain mahu memasuki laluan ke bilik persalinan. 


Suasana kembali tenang semula sebelum separuh masa kedua bersambung dan Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin dilihat bersalaman dengan pemain JDT. 


Sanusi yang merupakan Menteri Besar Kedah kecewa dengan budaya yang ditonjolkan oleh JDT yang dianggapnya sebagai budaya ala samseng. 


"Gaya dan karakter mereka itu dah boleh nampak macam nak gaduh apabila mereka menghampiri tempat kita. Padahal mereka datang ke stadium kita dan tak hormat kita dan mereka terpa dekat jurulatih kita dan buat cengei (bengis). 


"Ini ada karakter yang tidak bagus dalam sukan dan nampak kerek. Mungkin pasukan mereka kaya dan gaji mereka mahal, sementara kita pula tidak ada duit. Jangan kerek sangat mai tempat orang, agak-agaklah," katanya," memetik laporan dari Harian Metro. 


"Pihak lawan tidak sepatutnya memperlakukan KDA FC seperti pasukan belasahan walaupun mereka pandai bermain bola sepak. Kita pun tidaklah bodoh sangat, malah kita juga hampir menjaringkan dua gol semalam, yang cuma terhalang oleh tiang dan palang. 


"Saya yakin, satu hari nanti Kedah akan mampu menewaskan JDT. InsyaAllah dan memang kita pernah tewaskan mereka sebelum ini," katanya. 


Sumber: Harian Metro, Free Malaysia Today




source https://www.thereporter.my/2021/05/jangan-kerek-sangat-mai-tempat-orang.html
Previous
Next Post »