(Video) 'Habis you mau tipu orang 5 ringgit ini semua kenapa?!' - Balun warga asing, Yusuf Azmi, Abang Ali & the gang bakal berdepan dengan tindakan undang-undang


Viral di media sosial semalam, video viral yag menunjukkan aktivis masyarakat, Yusuf Azmi, Abang Ali dan beberapa lagi pengikutnya dilihat menahan seorang lelaki warga asing sebelum menampar dan memukulnya. 


Berdasarkan video viral berdurasi hampir dua minit itu, lelaki warga asing itu disyaki melakukan penipuan yang membabitkan wang tunai dan didakwa menjual baju cetak rompak NGO yang diketuai oleh Yusuf Azmi.


Abang Ali bagaikan tidak dapat mengawal diri berterusan cuba menyerang lelaki terbabit, namun sempat dihalang oleh beberapa individu lain. 


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian itu berlaku di kawasan kaki lima di Jalan Alam Jaya 19, Taman Alam Jaya, Batu 9 Cheras, Kajang. 


Tindakan Yusuf Azmi dan rakan-rakannya telah mendatangkan kekacauan kepada ketenteraman awam kerana kejadian itu berlaku di kawasan awam yang terbuka. Selain itu, Yusuf dan rakan-rakannya juga didapati melanggar beberapa prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan berkumpul dan tidak menjaga penjarakan fizikal. 



Ekoran itu, pihak IPD Kajang telah membuat laporan polis untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan (Merusuh) yang memperuntukkan hukuman penjara selama dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali. 


Bagi kesalahan pelanggaran SOP PKPB, kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan / 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. 


Polis kini sedang giat mengesan suspek-suspek yang terlibat dalam kejadian itu, selain menggesa orang awam yang mempunyai maklumat lanjut untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana Balai Polis Terdekat atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Radzee Jamudi di talian 019-6655811. 


Sumber: Harian Metro, Info Roadblock JPJ/POLIS



source https://www.thereporter.my/2021/05/video-habis-you-mau-tipu-orang-5.html
Previous
Next Post »