'Ciuman Abi & Ummi yang terakhir untuk anak kesayangan Khaleel Islam' - Bayi 14 bulan maut terjatuh dari katil di rumah pengasuh


Seorang bayi lelaki berusia 14 bulan terjatuh dari katil ketika berada di rumah pengasuhnya sehingga menyebabkan mangsa mengalami pendarahan dan retak tulang kepala, Sabtu, 22 Mei 2021. 


Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mangsa sebelum itu dihantar oleh bapanya ke rumah pengasuh berusia 24 tahun berkenaan di Paka pada jam 10.15 pagi.


Bagaimanapun, bapa mangsa kemudian menerima panggilan daripada isterinya yang memaklumkan anak mereka mengalami kecederaan di rumah pengasuh dan terus bergegas ke rumah pengasuh.


Sebaik tiba pada jam 10.30 pagi, lelaki berusia 30 tahun itu mendapati anaknya dalam keadaan lemah dan tidak sedarkan diri lalu membawanya ke Klinik Kesihatan Paka. 


Mangsa diberi bantuan alat pernafasan yang kemudian mengarahkan mangsa dibawa ke Hospital Dungun dan dirujuk ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu pada jam 5 petang. 


Pemeriksaan awal tidak menemui sebarang kecederaan fizikal, namun imbasan CT Scan mendapati mangsa mengalami pendarahan di ubun kepala dan keretakan di bahagian belakang tulang kepala. 


Suspek memaklumkan mangsa terjatuh secara terlentang dari katil dengan kepalanya terhendak di lantai ketika bermain. 


23 Mei 2021, Ahad malam, mangsa dilaporkan meninggal dunia. Mangsa menghembuskan nafas terakhir di ICU Kanak-Kanak pada jam 10 malam. 


Suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat. 


Sementara itu bapa mangsa, Mohamad Ehafizuddin, turut berkongsi berita duka itu dengan kenalannya di Facebook.



"Inilah ciuman abi dan ummi yang terakhir untuk anak kesayangan abi, Khaleel Islam. Sudilah sedekahkan bacaan Al-Fatihah untuk anak ku Khaleel Islam bin Mohamad Ehafizuddin yang sudah kembali ke rahmatullah. 


"Sesungguhnya adik Khaleel ini penghuni syurga. Yang pasti akan berbakti kepada orang tuanya kelak. Adik panggillah abi dan ummi nanti di pintu syurga. Abi dan ummi akan tunggu panggilan adik. 


"Terima kasih Allah pinjamkan rezeki yang tidak ternilai ini selama 1 tahun 2 bulan 29 hari. Abi dan ummi serta kakak Dhuha sangat gembira dengan kehadiran adik. Kami pasti akan rindu dengan semua gelagat adik. Besar ujian ini dik, tapi abi dan ummi redho pemergian adik dan yakin dedngan qadar dan qada' Allah. 


"Rehatlah adik. Buat sahabatku, mohon doakan kami kuat menghadapi dugaan besar ini," tulisnya. 



Sumber: Harian Metro, FB Mohamad Ehafizuddin



source https://www.thereporter.my/2021/05/ciuman-abi-ummi-yang-terakhir-untuk.html
Previous
Next Post »