10 termasuk budak 12 tahun ditahan kerana bergaduh menggunakan senjata di PPR Kempas, JB


Susulan viral video pergaduhan di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas, Johor Bahru kelmarin, seramai 10 individu termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditahan untuk membantu siasatan kes pergaduhan menggunakan senjata. 


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, kesemua suspek berusia dari 12 hingga 45 tahun itu ditahan pada jam 6.45 petang selepas pihaknya menerima laporan daripada orang awam. 


Siasatan awal mendapati, pergaduhan itu membabitkan dua keluarga yang  dikatakan berpunca dari masalah peribadi.


Baca: (Video) 'Makcik tudung pink tu punca pergaduhan' - Sekumpulan individu bergaduh, budak ambil kesempatan diterajang sampai terpelanting


Selain itu, kesemua suspek akan dikenakan tindakan undang-undang kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan akan dikenakan kompaun mengikut Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit 2020. 


Kes pergaduhan yang berlaku pula akan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata. Dengan tertangkapnya semua suspek terlibat, polis menganggap kes tersebut telah pun selesai. 



Terdahulu, video pergaduhan yang dirakam oleh saksi viral di media sosial menunjukkan seorang wanita bertudung  merah jambu secara tiba-tiba datang dan terus memukul salah seorang lelaki di tempat kejadian. 


Tindakan wanita itu menjadi punca kepada pergaduhan fizikal, sedangkan sebelum itu kedua-dua pihak hanya bertengkar menggunakan mulut, bukannya menggunakan tangan mahupun kaki.


Sumber: Harian Metro, Bernama



source https://www.thereporter.my/2021/05/10-termasuk-budak-12-tahun-ditahan.html
Previous
Next Post »