Kedah Cuti Isnin Jika Menang, Selangor Cuma Janji Habuan Besar

Sumber Foto - Utusan malaysia

Sekiranya menjulang trofi Piala Malaysia yang kali terakhir dimenangi pada 2008 di Stadium Shah Alam pada malam ini, setiap pemain Kedah akan diberi ganjaran wang tunai berjumlah RM25,000.

Pengumuman itu dinyatakan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) merangkap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan pemain Kedah di sebuah hotel, di Subang Jaya, malam tadi.

"KFA memutuskan untuk memberi (imbuhan) sebanyak RM20,000 dan kerajaan negeri menambah RM5,000 bagi menaikkan lagi semangat pemain." 

Pada masa yang sama, beliau turut mengumumkan Isnin ini sebagai cuti peristiwa di Kedah sebagai penghargaan kerajaan negeri kepada rakyat negeri berkenaan yang memberikan sokongan padu kepada pasukan berkenaan sehingga mara ke final Piala Malaysia.


Sementara itu, memetik laporan Berita Harian, pengurus pasukan negeri Selangor, Amirudin Shari memaklumkan seandainya Selangor berjaya mempertahankan trofi Piala Malaysia dengan menumbangkan Kedah ganjaran lebih tinggi akan diberikan dan nilainya hanya akan diumumkan sebaik tamat perlawanan akhir itu nanti.

Difahamkan, setiap pemain menerima imbuhan RM50,000 daripada kerajaan negeri ketika muncul juara musim lalu. - CARI
Previous
Next Post »