Doktor buat lebih 37,000 pembedahan plastik percuma untuk bantu bayi/kanak-kanak alami masalah bibir sumbing


Seorang pakar bedah plastik India dipuji sebagai wira selepas menghabiskan sebahagian besar hidupnya untuk melakukan lebih 37,000 prosedur pembedahan percuma untuk memperbetulkan sumbing lelangit dan bibir sumbing kanak-kanak. 


Bibir sumbing atau sumbing lelangit adalah kecacatan kelahiran yang berlaku apabila bibir atau mulut bayi tidak terbentuk dengan betul semasa kehamilan. Kecacatan ini boleh mendatangkan banyak masalah seperti hilang keupayaan untuk mendapatkan susu dengan baik semasa bayi, mangsa buli dan diskriminasi di kemudian hari. 


Bagaimanapun, kecacatan kelahiran ini boleh ditangani dengan bantuan pembedahan plastik. Namun, prosedur ini kebiasaannya menelan kos yang mahal dan keluarga miskin tidak mampu menanggung kos pembedahan. 


Di India, seorang pakar bedah plastik tampil menawarkan perkhidmatan secara percuma kepada puluhan ribu bayi dan kanak-kanak dengan harapan dapat memberi peluang kepada mereka untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik. 


Dilahirkan dalam keluarga sederhana di Varanasi, Uttar Pradesh, India, Dr. Subodh Kumar Singh juga melalui zaman kanak-kanak yang sukar, yang memberi inspirasi kepadanya untuk mendedikasikan kejayaannya dengan membantu golongan yang memerlukan, bukannya hanya sekadar mencari keuntungan semata-mata. 


Selepas kehilangan bapanya ketika di usia 13 tahun, Subodh dan tiga abangnya terpaksa menyara keluarga dengan menjual lilin, sabun dan cermin mata buatan sendiri. 


Bagi memastikan Subodh dapat melanjutkan pelajaran dan memenuhi impiannya menjadi doktor, adik-beradiknya sanggup berhenti sekolah. Walaupun adakalanya dia turut membantu menyara keluarga, Subodh berjaya menghabiskan pengajiannya di Institut Sains Perubatan dan kini menjadi pakar pembedahan plastik. 


"Menjadi seorang doktor meletakkan saya dalam kedudukan untuk membantu orang ramai. Saya mahu menjadikan kehidupan mereka lebih baik dari sebelumnya," katanya. 


Menyedari bahawa ramai bayi dan kanak-kanak dlahirkan dengan bibir sumbing memerlukan bantuan, Subodh mula menganjurkan kempen perubatan percuma dan membantu seramai mungkin pesakit. Usahanya itu kemudian disedari oleh Smile Train, sebuah inisiatif global yang memfokuskan pembedahan bibir sumbing. Dengan sokongan daripada mereka dan NGO lain, Subodh dapat membantu lebih ramai orang. 


"Bayi yang mengalami masalah bibir sumbing sukar minum susu, ramai yang mati akibat kekurangan zat makanan, selain mengalami pertumbuhan terbantut. Kanak-kanak juga sukar menggunakan lidah untuk bercakap yang menyebabkan masalah pertuturan. 


"Tidak kurang juga ada kanak-kanak yang berhenti sekolah kerana dibuli atau diejak rakan sebaya. Mereka juga sukar mencari pekerjaan. Dalam hal ini, si ibu yang paling banyak disalahkan, dikutuk dan ditinggalkan semua kerana mengandung anak berbibir sumbing. Ini juga memberi kesan psikologi kepada ibu bapa. Tetapi, dengan pembedahan plastik, semua masalah ini boleh selesai.


"Saya berasa bangga kerana mempunyai kemahiran untuk mengubah kehidupan orang ramai. Tiada apa yang lebih menggembirakan saya daripada menyatukan semula keluarga yang menerima menantu perempuan mereka selepas pembedahan dan tidak menyalahkan kecacatan itu," katanya. 


Sumber: Oddity Central



source https://www.thereporter.my/2021/12/doktor-buat-lebih-37000-pembedahan.html
Previous
Next Post »