(Video) 11 individu dipercayai geng kongsi gelap ditahan selepas video 'sambut Hari Bapa langgar SOP' viral di media sosial


Gara-gara video menyambut Hari Bapa viral di media sosial, 11 individu yang dipercayai terbabit dalam kegiatan kongsi gelap iaitu Geng 35, ditahan polis di Kulim, semalam. 


Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, video berdurasi 44 saat di Tik Tok yang menunjukkan seorang lelaki memotong kek merah kuning dengan nombor 35, dikesan oleh pihaknya sebelum membuat tangkapan secara berperingkat terhadap suspek bermula jam 10 malam tadi.


"Hasil risikan yang dilakukan mendapati, kejadian berlaku di salah sebuah rumah suspek yang meraikan sambutan Hari Bapa. Kesemua individu berusia 25 hingga 61 tahun itu hanyalah kenalan yang turut serta dalam sambutan majlis itu. 


"Bagaimanapun polis percaya kesemua yang ditahan itu mempunyai kaitan dengan kongsi gelap Geng 35 dan beberapa rampasan seperti telefon bimbit serta cincin dibuat untuk membantu siasatan. 


"Dalam video itu juga, didapati 15 individu berkumpul dalam sebuah rumah tanpa penjarakan fizikal. Ianya jelas melanggar Peraturan-Peraturan Pencecgahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 dan laporan polis dibuat sejurus selepas itu. 


"Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966 dan Peraturan 10(1) PPDPP 2021," katanya.



Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2021/06/video-11-individu-dipercayai-geng.html
Previous
Next Post »