Suami pukul, tampar isteri & anak kerana tidur petangnya terganggu


Berang tidur terganggu dek tangisan anak, seorang lelaki bertindak memukul dan menampar isteri dan anak lelakinya yang berusia setahun. Malah, suspek berusia 27 tahun itu turut mengugut mahu membunuh dan menggantung isterinya. 


Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, kejadian itu berlaku pada jam 3 petang kelmarin di Kampung Membakut Jaya dan isteri suspek telah membuat laporan di Balai Polis Membakut pada hari yang sama. 


Siasatan awal mendapati, suspek terdahulu bertindak memukul anaknya kerana bengang tidurnya terganggu dengan tangisan kanak-kanak itu. Insiden itu disedari oleh ibu mangsa lalu bertindak menegur perbuatan suspek sehingga berlaku pertengkaran. 


Tidak puas hati ditegur, suspek mengamuk dan menampar isterinya. Malah suspek turut menggugut  mahu membunuh dan menggantung isterinya sebelum keluar dari rumah. Mangsa mengalami kecederaan di bahagian pipi dirujuk ke Hospital Beaufort untuk mendapatkan rawatan.


Polis kini sedang giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 kerana melakukan ugutan jenayah. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2021/06/suami-pukul-tampar-isteri-anak-kerana.html
Previous
Next Post »