Suami sempat pegang rambut isteri sebaik terjun bangunan



Beijing: Seorang lelaki berjaya menyelamatkan isterinya daripada membunuh diri dengan terjun dari sebuah bangunan apabila sempat merentap rambutnya yang diikat gaya ekor kuda menyebabkan wanita itu tergantung di udara selama kira-kira tiga minit sehingga polis datang menyelamatkannya.


Akhbar Chinese Business View melaporkan, wanita dari daerah Shiquan, wilayah Shaanxi berusia 30-an itu dilaporkan cuba terjun dari bumbung bangunan setinggi 20 meter itu selepas bertengkar dengan keluarganya pada Ahad lalu.

Menurut artikel itu, pasangan suami isteri berkenaan menyewa kediaman di tingkat atas bangunan berkenaan.

Seorang anggota polis, Zuo Yu berkata: “Ketika sampai, kami melihat suami wanita itu menggenggam rambutnya yang diikat ekor kuda, tetapi dia sudah hampir terlepas.

“Jika kami terlambat hanya beberapa saat, pasti isterinya sudah jatuh.”

Rakaman video yang tular di Internet menunjukkan seorang anggota polis memanjat penghadang untuk sampai ke wanita itu dengan rakan-rakannya memegang baju untuk menghalangnya daripada jatuh.

Si suami juga berada di sebalik penghadang sambil memegang rambut isterinya manakala hud jaketnya ditarik polis sebagai langkah berjaga-jaga supaya dia tidak terjatuh ke bawah.

Wanita itu bernasib baik kerana sebahagian badannya disokong paip selebar 30 sentimeter selepas dia terjatuh ke atasnya.

Menurut polis, jika tidak kerana paip itu usaha suaminya pasti tidak berkesan.

WANITA berkenaan tergantung dari bangunan setinggi 20 meter berkenaan. - scmp.com


Previous
Next Post »