Malaysia Bakal Guna Teknologi baru, Bakal bina jalan raya guna campuran getah


KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka dapat membina jalan daripada getah pada Jun tahun depan, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah berkata banyak negara sudah menjalankan kajian mengenai pelbagai kegunaan getah terutama untuk sektor pembinaan.

"Sesetengah negara menggunakan getah asli (NR) untuk membina jalan. Malaysia juga akan menjadi antara negara berkenaan," katanya dalam taklimat media di sini hari ini selepas merasmikan Persidangan Getah Tahunan Ketujuh anjuran Persatuan Negara-negara Pengeluar Getah Asli, bertemakan 'Kelestarian Ekonomi NR yang Saksama'.

Uggah berkata jika harga terus bergerak pada kadar perlahan, ada kemungkinan getah asli akan diguna untuk membina jalan.

Katanya, Thailand yang telah menjalankan ujian, mendapati walaupun pelaburan awal tinggi, kos penyelenggaraan adalah rendah untuk jangka panjang.

"Jalan daripada getah juga sebagus jalan tar atau bitumen. Thailand menggunakan 3.3 tan getah asli untuk satu kilometer pembinaan jalan," katanya.

Uggah berkata antara langkah segera yang diambil bagi menyokong industri getah asli ialah menanam semula pokok getah di kawasan seluas 50,000 hektar bagi menggantikan pokok berusia lebih 20 tahun.

Terdahulu dalam ucapannya, Uggah berkata kerajaan menyambut baik cadangan persatuan pengeluar getah Thailand, Indonesia dan Malaysia baru-baru ini untuk tidak menjual di bawah harga AS1.50 (RM4.90) sekilogram.

"Jadikan ini ujian yang mengukur keazaman dan persaudaraan kita dalam menyelesaikan krisis harga sekarang," katanya. - BERNAMA



SANTUBONG 29 Jan. - Kementerian Kerja Raya akan melakukan kajian merangkumi aspek teknikal dan kos bagi menilai kesesuaian getah sebagai bahan untuk menurap jalan.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kajian tersebut dijangka siap tahun ini dan bertujuan mengukur kekuatan campuran bitumen serta ketulan getah.

“Kita mahu melihat sama ada campuran ketul getah dapat menguatkan lagi jalan dan lebih tahan lama berbanding kaedah konvensional.

“Setakat ini, terdapat indikasi positif terhadap jalan diturap getah sebagai alternatif kepada jalan biasa namun ia bergantung kepada penilaian akhir dari segi teknikal dan kos,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penangguhan Jom Masuk U! 2017 Sarawak anjuran Halaqah Kemajuan Muslim (HIKAM) di Sekolah Seni Malaysia Cawangan Kuching di sini hari ini.

Semalam, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong menyatakan, jalan raya yang diturap getah akan mula digunakan di negara ini tahun ini.

Fadillah menambah, sebanyak tiga projek perintis jalan diturap getah telah disiapkan antaranya di Negeri Sembilan dan Selangor, masing-masing sepanjang satu kilometer (km).

“Satu lagi projek perintis bagi jalan diturap getah akan dibuat di Pahang selepas ini.

“Sekiranya terbukti bagus turapan ini, kita akan menggunakannya bagi Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dan Sabah,” jelasnya.

Beliau memberitahu, walaupun kos membina jalan diturap getah mungkin lebih tinggi berbanding kaedah konvensional namun ia lebih menjimatkan dari segi penyelenggaraan.


Perbezaan jalan raya yang turap dengan Fibre Mastic Asphalt (FMA) (kanan).-UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI
Previous
Next Post »