Pengarah Bollywood dipukul gara-gara tak puas hati dengan jalan cerita

Perusuh merosakkan peralatan penggambaran dan kiri, Sanjay Leela Bhansali dikawal meninggalkan lokasi penggambaran.

'New Delhi: Pengarah filem Bollywood, Sanjay Leela Bhansali, menjadi mangsa serangan di Rajasthan, barat India, apabila ditempeleng dan rambutnya ditarik secara ganas oleh sekumpulan perusuh yang tidak puas hati dengan jalan cerita filem terbarunya.
Protes terhadap filem Hindi bukan perkara asing dan insiden laku musnah, membakar poster filem serta menyelongkar panggung wayang sering berlaku, namun memukul pengarah filem dan pelakon, jarang berlaku.

Media India melaporkan serangan berlaku ketika Sanjay duduk di depan monitor mengarahkan penggambaran filem "Padmavati" di Jaigarh Fort berhampiran Jaipur, ibu negeri Rajasthan.

Perusuh kemudian mengamuk merosakkan kamera dan peralatan lain.

Akibat serangan itu, Bhansali terpaksa membatalkan penggambaran.

Kumpulan kasta Shree Rajput Karni Sena dilaporkan bertanggungjawab melakukan serangan ganas pada 27 Januari itu.

'Sena' boleh ditafsirkan sebagai 'tentera' dan terdapat banyak 'Sena' di India yang berjuang demi pelbagai matlamat.

Menurut hindustantimes.com, perusuh Rajasthan berang kerana menganggap ‘penyelewengan fakta’ mengenai perasaan Maharaja Alauddin Khilji terhadap Ratu Padmavati.

Bhansali menyangkal dakwaan filem lakonan Ranveer Singh dan Deepika Padukone itu mempunyai babak hubungan intim.

"Kami menjelaskan tiada babak terlarang antara Rani Padmavati dan Allauddin Khilji," kata pengarah filem itu dalam satu kenyataan.

Kumpulan Karni Sena memberi amaran ia tidak akan membenarkan sebarang ikon sejarah Rajput dilibatkan dengan unsur kelucahan.

Menurut kisah, Padmavati mengambil keputusan melakukan "jauhar" iaitu mengambil nyawanya sendiri kerana tidak mahu menyerahkan dirinya kepada Khilji yang menyerang wilayah Chittorgarh pada 1303.

Meskipun kisah pertempuran Chittorgarh dianggap benar namun legenda Padmavati dipertikai ahli sejarah.
Previous
Next Post »