Lebih 10 ribu peserta BERSIH, tiga ribu Baju Merah di KL

11:40am: Kuala Lumpur - Lebih 10,000 penyokong BERSIH berhimpun di beberapa tempat di ibu negara manakala jumlah penyokong Baju Merah pula adalah kira-kira 3,000 orang.


Walaupun berikrar untuk hadir di mana sahaja peserta BERSIH5 berkumpul, penyokong Baju Merah tidak kelihatan di Dataran Maybank di Bangsar dan Masjid Negara.


Di Bangsar, kira-kira 3,000 penyokong BERSIH berhimpun di Dataran Maybank.


2,000 lagi peserta BERSIH berada di Masjid Negara. Kumpulan Baju Merah yang menduduki Masjid Negara semalam juga tidak kelihatan selepas bersurai lewat malam semalam berikutan penahanan pemimpin mereka, Razali Zakaria.

Menariknya, sebilangan besar penyokong BERSIH sudah berada di Jalan Tun Perak dan Jalan Pudu, lokasi yang tidak ditetapkan sebagai tempat pengumpulan tetapi adalah tempat perhimpunan biasa untuk himpunan sebelum ini.


Jumlah peserta BERSIH di Jalan Tun Perak dan Jalan Pudu masing-masing dianggarkan pada 3,500 dan 2,000.


Terdapat juga kumpulan kecil peserta BERSIH di beberapa tempat lain, termasuk kira-kira 350 orang di Jalan Tuanku Abdul Rahman


Sementara itu, kira-kira 2,000 baju merah yang berhimpun di PWTC mula berarak bagi menyertai kumpulan mereka yang menunggu Jalan Tuanku Abdul Rahman. Ini menjadikan jumlah mereka hampir 3,000 orang.


Anggota keselamatan BERSIH, kemudiannya mengarahkan penyokongnya untuk meninggalkan Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Previous
Next Post »