Pengasuh hentak kepala bayi ke lantai sampai tak sedarkan diri kerana bengang mangsa tak berhenti menangis


Seorang pengasuh wanita didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan cuba membunuh bayi lelaki berusia tujuh tahun antara jam 7 pagi dan 2.45 petang, 22 September 2021 di sebuah rumah di Taman Desa Pelancongan 2. 


Nursahidah Amran, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani. 


Dalam pertuduhan itu, Nursahidah didakwa telah menghentak sehingga mencederakan kepala mangsa di mana tertuduh mengetahui perbuatan itu boleh menyebabkan kematian pada mangsa. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun. 


Tertuduh juga tidak mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di tempat dan masa yang sama. Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali. 


Pendakwaan dikenalikan Timbalan Pendakwa Raya Afiqa Liyana Razman dan Afiqah Izzati Mazlan, manakala tertuduh diwakili peguam Muhamad Syahrul Nizam Mohd Rabi dan Mohamad Salihen Astor.


Tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak boleh mengganggu saksi. Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 November 2021. 


Terdahulu, media melaporkan bapa kepada mangsa membuat laporan polis pada 24 September 2021 kerana mensyaki anaknya didera dan cuba dibunuh oleh pengasuh berkenaan. 


Difahamkan, mangsa dihantar kepada pengasuh terbabit pada pagi Rabu dalam keadaan sihat dan baik. Namun pada jam 2.35 petang, pengasuh menghubungi pengadu untuk mengambil anaknya kerana mangsa terjatuh dari 'baby walker'. 


Sebaik tiba di rumah pengasuh, pengadu mendapati kepala anaknya mengalami bengkak, lalu bertanya punca kecederaan anaknya. Pengasuh kemudian memaklumkan, mangsa terjatuh ketika didukung. 


Mangsa terus dibawa ke hospital dan pemeriksaan mendapati berlaku pendarahan di kepala dan tempurung kepala mangsa retak. Mangsa pada ketika itu berada dalam keadaan tidak sedar dan kritikal. 


Ekoran kejadian itu, pengasuh terbabit ditahan dan ketika disiasat dia mengaku menghempas kepala mangsa sebanyak dua kali ke lantai kerana berang mangsa tidak berhenti menangis. Dia hanya berhenti melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu selepas menyedari mangsa tidak sedarkan diri. 


Sumber: Bernama, Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2021/09/pengasuh-hentak-kepala-bayi-ke-lantai.html
Previous
Next Post »