Driver langgar peraturan jalan raya, Timbalan Menteri di JPM tampil mohon maaf


Susulan viral video pemandu kereta pemimpin politik melanggar peraturan jalan raya dengan alasan terlambat menghantar majikannya ke lapangan terbang, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Marzuk Shaary tampil membuat permohonan maaf. 


Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu juga akan bertanggungjawab di atas perbuatan pemandunya dan menerima teguran yang diberikan untuk dijadikan sebagai penambahbaikan kepada diri dan juga kakitangannya.


"Sekiranya dikenakan hukuman, semoga ia menjadi asbab kebaikan dan penambahbaikan buat beliau (pemandu) dan saya sendiri. Biarlah hukuman itu di atas dunia andai dengan itu ia melepaskan kami daripada hukuman di akhirat.


"Saya memohon ribuan kemaafan atas isu yang timbul. Semoga peristiwa ini memberi peluang untuk kami terus menjalankan tugas dengan penuh jujur dan berintegriti demi rakyat Malaysia," katanya. 


Ahmad Marzuk mengesahkan, perkara itu kini dalam siasatan pihak polis dan pemandunya telah dipanggil untuk memberi keterangan. 


Terdahulu, video yang dirakam orang awam menunjukkan pemandu terbabit memotong kenderaan lain di hadapannya di garisan berkembar sehingga menyebabkan kenderaan dari arah bertentangan terpaksa memberi laluan kepadanya.


Menurut sumber, pemandu terbabit berbuat demikian kerana dia sudah terlambat untuk menghantar majikannya ke lapangan terbang. 


Sumber: MalaysiaKini


LAPORAN BERKAITAN



source https://www.thereporter.my/2021/09/driver-langgar-peraturan-jalan-raya.html
Previous
Next Post »