Jurutera maut dirempuh kereta terbabas

Sebuah kereta Perodua Aruz terbabit dalam kemalangan selepas dirempuh kereta Proton Perdana dalam kejadian di Persiaran Tun Teja, Alam Impian petang semalam. 


Dalam kejadian yang berlaku pada jam 3.45 petang itu, mangsa, Ahmad Safwan Sulian, 32, maut di lokasi kejadian, manakala isteri dan dua anaknya mengalami kecederaan ringan. 


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, mangsa dan keluarganya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai memotong rambut di Seksyen 19. 


Kereta Proton Perdana yang dipandu dari arah Persiaran Panglima Sultan hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar kereta mangsa yang datang dari arah Plaza Tol Alam Impian. 


Kemalangan itu menyebabkan Ahmad Safwan maut, manakala isterinya, Nur Syahirah Ismail, 33, dan dua anaknya berusia lima dan tiga tahun terselamat. 


Tiga beranak itu dibawa ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan, manakala pemandu Proton Perdana yang mengalami kecederaan itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah dan dirawat di zon merah. 


Polis telah mengambil sampel darah pemandu Perdana terbabit untuk diuji sama ada dia memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah. 


Jenazah mangsa telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 pada jam 11.30 pagi Ahad (27/9/2020). 


Sumber: Harian Metro, Info Roadblock JPJ/POLIS



source https://www.thereporter.my/2020/09/jurutera-maut-dirempuh-kereta-terbabas.html
Previous
Next Post »