'Saya tak terlibat, tak tahu apa punca dia terjatuh' - Pemandu Honda Accord nafi langgar rider FoodPanda


Viral di media sosial semalam gambar seorang penghantar makanan Food Panda terbabit dalam kemalangan di Persiaran Putra Mahkota berhampiran Putra Heights di Subang Jaya. 

Maklumat awal yang viral di media sosial mendakwa, mangsa telah dilanggar oleh pemandu Honda Accord berwarna putih yang kemudian melarikan diri dari membantu mangsa. Maklumat kereta itu kemudian diviralkan dengan harapan pemandunya dapat ditangkap. 

Bagaimanapun, pemandu berkenaan tampil membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan yang dikatakannya tidak berasas. 

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh pemilik Honda Accord berkenaan.

Menurut Seow Yoe Chuen, 30, berkata, dia dimaklumkan oleh adiknya pada jam 3 petang semalam bahawa dia dituduh melanggar lari mangsa. 

Yoe Chuen kemudian membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan itu dan memaklumkan dia hanya melihat kemalangan tersebut. 


Berdasarkan keterangan, Yoe Chuen memandu dari arah Persiaran Putra Perdana ke arah Persiaran Putra Indah pada jam 10.18 pagi sebelum ternampak motosikal Yamaha LC135 yang ditunggang oleh mangsa terlanggar pembahagi jalan di tengah simpang tiga jalan berkenaan. 

Kemalangan itu menyebabkan mangsa tercampak lapan meter ke hadapan. 

Yoe Chuen kemudian memberhentikan keretanya di bahu jalan untuk membantu mangsa. Namun dia beredar dari lokasi setelah melihat ramai yang datang memberi bantuan kepada mangsa, sementara dia meneruskan perjalanan membawa anaknya ke klinik. 

Polis juga melakukan pemeriksaan terhadap kereta Honda Accord berkenaan dan mendapati tiada sebarang kesan kemalangan atau calar mahupun kemek. 




Motosikal mangsa yang ditemui di lokasi kejadian mengalami kerosakkan di beberapa bahagian termasuk rim hadapan bengkok. Motosikal itu dibawa ke balai untuk pemeriksaan forensik bagi mengetahui punca kemalangan itu berlaku dan penafian Seow Yoe Chuen. 

Mangsa, Mohamed Samsudeen Jainudeen, 20, dilaporkan masih berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di Hospital Putrajaya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Harian Metro, Facebook



source https://www.thereporter.my/2020/08/saya-tak-terlibat-tak-tahu-apa-punca.html
Previous
Next Post »