Bunyi bising konvoi motosikal punca insiden rusuhan di PPR Gombak Setia

Majlis kahwin terganggu akibat bunyi bising motosikal



KUALA LUMPUR - Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia mendakwa kejadian rusuhan yang berlaku pada Sabtu lalu di sini berpunca daripada konvoi bermotosikal yang mengiringi pihak pengantin membuat bising dan bertindak agresif.

Tinjauan Kosmo! mendapati terdapat beberapa kerosakan melibatkan kereta yang kemek, pintu dewan pecah serta gerai yang dirosakkan.

Menurut Pengerusi Surau as-Sakinah, Mustapha A. Mohaideen, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 1.15 petang ketika kira-kira 30 motosikal rombangan pengantin berarak masuk dan membuat bising dengan memulas pendikit minyak dengan kuat sebelum azan Zohor.

Katanya, selepas ditegur penduduk, kumpulan tersebut diam dan senyap sebentar sebelum kembali membuat bising selepas beberapa letupan mercun kedengaran ketika penduduk sedang bersolat.

“Keadaan kembali kecoh setelah empat individu yang menyertai konvoi itu bertindak agresif dengan menggegarkan pagar dewan serta memanjat keluar.

“Difahamkan beberapa lelaki tersebut kemudiannya datang ke arah gerai berhampiran dan berlaku pergaduhan sehingga menyebabkan seorang penduduk cedera ditikam dengan botol kaca yang pecah,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini sebentar tadi.

Menurut Mustapha, akibat diserang, pemuda itu meminta bantuan sehingga penduduk sekitar datang ke dewan untuk mencari suspek yang menikam mangsa di dalam dewan namun dihalang sehingga berlaku kekecohan.

“Tidak lama selepas itu, beberapa anggota polis datang dan menahan salah seorang suspek yang terlibat lalu dibawa ke Balai Polis Setapak.

“Insiden seperti ini tidak sepatutnya berlaku tambahan pula majlis perkahwinan sedang berlangsung dan kita pula sedang menyambut Hari Raya Aidilfitri,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan Ramli Kasa berkata, seorang lelaki telah ditahan bagi membantu siasatan dan pihaknya sedang mengesan kira-kira 20 suspek yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan itu.

“Siasatan awal mendapati, punca pergaduhan disebabkan rombongan konvoi bermotosikal pihak pengantin lelaki membuat bising dengan memulas-mulas pendikit minyak sebagai tanda ketibaan pengantin.

“Pergaduhan itu juga berpunca daripada bunyi letupan mercun yang dibaling ke arah konvoi pengantin lelaki,” katanya.

Klip video insiden pergaduhan itu yang berdurasi 1 minit 38 saat dimuat naik ke laman sosial sejak semalam menunjukkan sekumpulan lelaki menyerang tetamu majlis perkahwinan tersebut dengan dua lelaki turut dilihat memegang parang. - Kosmo Online

Previous
Next Post »